Sedikit Info perlu kita tahu mengenai insurans


Pendedahan sindiket memanipulasi tuntutan insurans kemalangan yang disiarkan baru-baru ini mendapat reaksi daripada pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat insurans sendiri.


Berikutan itu, salah sebuah firma guaman terkenal yang mewakili syarikat-syarikat insurans negara ini tampil mencadangkan penyelesaian segera yang boleh diambil kerajaan iaitu semua pampasan tuntutan insurans mangsa kemalangan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad.

Amanah Raya dianggap sebagai badan bebas yang kemudian akan mengagih-agihkan pampasan kepada mangsa yang berkenaan.
Tindakan segera ini diperlukan kerana memandangkan senario masa kini, adalah hampir mustahil untuk membanteras sindiket walaupun menggunakan semua saluran dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Amalan ini yang turut dipraktikkan di negara jiran, Singapura dilihat mampu menangani isu memanipulasi tuntutan insurans yang mengakibatkan ramai mangsa kemalangan memperoleh jumlah pampasan yang amat kecil daripada jumlah keseluruhan yang dibenarkan mahkamah.

Seorang peguam di firma tersebut yang enggan dikenali berkata, penyelesaian segera itu penting bagi mengelakkan sindiket mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil insiden malang mangsa kemalangan.
“Amanah Raya bertindak menerima dan mengagih-agihkan tuntutan mengikut yang ditetapkan undang-undang dan secara langsung kepada mangsa tanpa perlu pihak tengah.

“Tindakan itu amat relevan berikutan sindiket dikesan mampu mengatasi semua sistem berkaitan insurans sehingga mangsa 'tidak sedar' dirinya teraniaya dan hanya memperoleh 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pampasan yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini terdapat kegiatan memanipulasi insurans kemalangan sehingga menyebabkan pihak insurans terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun.

Sindiket itu beroperasi melibatkan ejen insurans sendiri, bengkel membaiki kenderaan, trak tunda, firma guaman, malah pihak berkuasa, dengan ulat-ulat insurans berkeliaran di tempat-tempat tumpuan.

Dalam pada itu, peguam berkenaan yang lebih 30 tahun mengendalikan kes-kes tuntutan insurans memberitahu, Amanah Raya merupakan satu entiti yang bebas daripada sebarang kepentingan dan yang dilihat paling sesuai buat masa ini.


Post a Comment

0 Comments